Loading...
.
Home » » Berdoa Ketika Susah dan Senang

Berdoa Ketika Susah dan Senang

15 March 2010

Setiap kali selepas menunaikan solat lima waktu, kita digalakkan memanjatkan doa kepada Allah memohon supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberikan petunjuk serta hidayah semoga kita tergolong sebagai hambanya yang terhindar daripada azab api neraka.
Sesungguhnya doa adalah sebahagian daripada pelengkap ibadat yang wajar dilakukan seluruh umat Islam kerana Allah suka mendengar doa hamba-Nya.

Berkata seorang sahabat Rasulullah SAW, Fudalah Ibnil Ubaid: "Sesungguhnya Allah mendengar dengan penuh minat akan doa hambanya lebih daripada minat seorang tuan mendengar suara hamba perempuannya yang cantik sedang menyanyi."

Doa adalah perbualan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah dan setiap yang dimohon akan didengar Allah. Allah tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya

Selepas berdoa disarankan supaya bertawakal kepada Allah supaya segala permohonan serta doa akan dimakbulkan. Allah berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan dengan suara yang perlahan serta bermohonlah kepada-Nya dengan perasaan takut serta penuh harapan, sesungguhnya rahmat Tuhan itu adalah dekat kepada orang yang berbuat kebajikan."

Nabi Muhammad SAW berpesan kepada umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah sama ada pada masa senang atau susah. Jangan sekali-kali berasakan terlalu lambat doa hendak dimakbulkan hingga kita cepat berputus asa daripada rahmat Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Jika anda mengenang Tuhan pada waktu senang nescaya Ia akan mengenang anda pada waktu anda susah".

Sesuatu yang sering diingatkan Nabi Muhammad SAW ialah supaya jangan memakan sesuatu yang haram, kerana doa daripada mereka memakan benda haram tidak akan dimakbulkan Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang siapa yang ingin supaya Tuhan memakbulkan permohonan doanya pada waktu susah dan sempit maka hendaklah ia memperbanyakkan doa pada waktu ia senang lenang."

Tidaklah semestinya setiap doa itu akan segera dimakbulkan Allah. Oleh itu, kita sewajarnya jangan cepat berputus asa kerana dalam hal ini mungkin ada rahsia di sebaliknya atau padanya tersembunyi beberapa kebaikan dan manfaat yang tidak kita ketahui maksudnya.

Maka oleh itu adalah lebih afdal bagi kita untuk terus menerus berdoa kerana Allah sudah berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud: "Bermohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan segala permohonan kamu."

Jika menoleh kembali ke zaman silam, nescaya kita dapati bahawa nabi, khalifah serta sahabat Rasulullah SAW sering memanjatkan doa serta bermohon kepada Allah supaya mereka diselamatkan daripada bencana atau musibah ancaman musuh.

Apa yang berlaku kepada Nabi Musa sewaktu baginda dikejar tentera Firaun, lalu Nabi Musa berdoa serta bermohon kepada Allah. Maka terbelah laut dan selamatlah Nabi Musa daripada ancaman Firaun durjana.

Demikian juga dengan Nabi Ibrahim yang dicampakkan ke dalam api, lantas Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah, lalu api itupun serta merta menjadi sejuk dan dingin. Sesungguhnya banyak doa ada hikmah dan fadilat tinggi, terutama doa sering dibaca Nabi Muhammad SAW.

Antara doa masyhur yang sering dibaca Nabi ialah: "Ya Allah ya Tuhanku, aku bermohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah semua perkara kami berakhir dengan baik dan selamatkan kami daripada menerima malu di dunia dan mendapat azab di akhirat. Ya Allah ya Tuhanku, berikan kami rezeki yang halal dan jadikanlah kami seorang yang salih. Ya Allah ya Tuhanku, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada seksa api neraka."

Sesiapa membiasakan dirinya berdoa sepanjang masa, nescaya akan terselamat serta terpelihara, mendapat kemenangan serta kebahagiaan. Sebaliknya, sesiapa tidak berdoa maka apabila ditimpa bencana atau musibah janganlah menyalahkan takdir Tuhan. Justeru, tidaklah Allah itu bersikap zalim dan kejam terhadap hambanya.

Antara doa paling cepat dimakbulkan Allah ialah doa orang yang sentiasa mengekalkan solat, doa orang bermusafir, doa mereka yang berpuasa dan doa mereka yang teraniaya.

Marilah kita menyedari hakikat bahawa doa mereka yang beramal salih adalah antara penyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan sesebuah masyarakat dan negara.

Segala bencana seperti kemarau, banjir, ribut taufan atau gempa bumi yang menimpa sesebuah negara adalah balasan Allah terhadap mereka yang melupakan perintah Allah.

1 comments:

Anonymous,  March 21, 2010 at 6:57 PM  

syukur kepada Allah kerana Dia lah yang berkuasa di alam ini...

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi memberi komen..

Followers

SILALAH KLIK IKLAN YANG DIPAPARKAN..

Popular Posts

PENAFIAN :

Saya adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini. Iklan-iklan yang dirujuk dalam laman blog ini tidak boleh dianggap sebagai agen ataupun syarikat yang disyorkan oleh saya...

  © LAMAN UTAMA Dicipta oleh Rizal Yusof 2009

Kembali ke ATAS